Tumpuan :
Nasional

Pengguna jalan raya disaran bantu kongsi maklumat, bukan rakam dan tular

Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

KUALA LUMPUR: Perkongsian maklumat antara pengguna jalan raya dan pihak berkuasa antara usaha berkesan bagi mengatasi kes kemalangan jalan raya dengan mengenal pasti individu yang melanggar undang-undang jalan raya.

Berikutan itu Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, mengingatkan tiada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan merakam kesalahan namun kemudian menularkannya di media sosial demi mencari pengikut tanpa memaklumkan kepada polis.

Beliau berkata segala maklumat boleh disampaikan kepada polis sekiranya melihat atau mengesan adanya bahaya daripada sesebuah kenderaan seperti lori dan treler sehingga boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

“Ada situasi di mana pengguna jalan raya merakam kesalahan yang dikesan oleh pemandu kenderaan berat di lebuh raya dan kami mengalu-alukan tindakan berkenaan sebagai usaha mencegah dan mengelak berlakunya kemalangan yang mungkin berlaku.

“Kesalahan yang dikesan dalam bentuk rakaman sedikit sebanyak dapat membantu dan memudahkan tugas penguatkuasaan sama ada pihak JSPT dan penguatkuasaan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam usaha mengesan pemandu dan kenderaan berat yang melakukan kesalahan jalan raya.

“Ada juga situasi pengguna jalan raya merakam dan memaklumkan segera kepada polis mengenai pemandu treler sebelum bertindak menghalang kenderaan berkenaan daripada meneruskan perjalanan, kita benar-benar memuji tindakan sedemikian,” katanya kepada BH hari ini.

Beliau berkata tanpa melaporkan kepada pihak berkuasa, akan mewujudkan persepsi tidak baik apabila akan ada yang mempersoalkan agensi penguatkuasaan tidak bertindak untuk mengambil tindakan.

“Bekerjasamalah dengan kami, kongsilah segala maklumat yang ada dengan kami supaya kita bersama-sama dapat memastikan kemalangan jalan raya tidak berlaku sekali gus keselamatan pengguna jalan raya lain akan lebih terjamin,” katanya.

Katanya, tanggapan segelintir masyarakat bahawa adanya kelemahan dalam konteks penguatkuasaan apabila sesuatu kemalangan maut berlaku sewajarnya mengambil kira faktor keberadaan sesebuah kenderaan berat di atas jalan.

“Sudah tentunya kenderaan berat akan melalui pemeriksaan PUSPAKOM terlebih dahulu dan penekanan lebih tegas harus dibuat sebelum mereka diberikan ‘lampu hijau’ untuk bergerak.

“Bagi kami (JSPT), kerjasama secara bersepadu yang telah wujud sekian lama akan diperhebatkan dari semasa ke semasa ditambah dengan pemantauan dan rondaan akan terus dilaksanakan untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya lebih terjamin,” katanya.

Orang ramai dan pengguna jalan raya boleh menyalurkan maklumat berkenaan sebarang kesalahan kenderaan berat dengan menghubungi Bilik Gerakan JSPT Bukit Aman di talian 03-22663356 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Isnin lalu, tujuh termasuk lima sekeluarga maut, manakala 33 lagi cedera selepas sebuah bas persiaran cuba mengelak tayar lori yang berada di tengah-tengah lebuh raya di Kilometer (km) 204, Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Ayer Keroh, Melaka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini