SUBANG: Kementerian Kerja Raya (KKR) menggesa pengguna lebuh raya untuk memberikan kerjasama sepenuhnya ketika laluan Smart Lane diaktifkan di lebuh raya sepanjang musim cuti perayaan Deepavali ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR Datuk Zahrul Hakim Abdullah berkata, sepanjang musim cuti Deepavali pihak lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengaktifkan lorong Smart Lane di 21 lokasi kritikal yang dikenal pasti.
Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) di enam lebuh raya di Malaysia sempena musim perayaan yang lalu, lebih 70 peratus pengguna jalan raya yang menggunakan laluan Smart Lane bersetuju bahawa inisiatif itu membantu dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Dalam masa yang sama, inistiatif tersebut boleh menyumbang kepada aliran trafik yang lebih lancar dan penjimatan masa,” katanya pada program Tinjauan Persediaan PLUS Sempena Perayaan Deepavali dan Majlis Penyampaian Hadiah Sempena Kempen Sambutan Bulan Kebangsaan, di Persada PLUS, di sini, hari ini.
Sementara itu, Nik Airina berkata menjelang cuti perayaan Deepavali pihaknya menjangkakan lonjakan trafik akan mencecah sehingga 2.1 juta kenderaan setiap hari pada tarikh puncak di rangkaian lebuh rayanya iaitu pada 30 Oktober, 1 November, 2 November dan 3 November 2024.
Selain mengaktifkan Smart Lane di 21 kritikal, katanya, PLUS juga melakukan pelbagai persiapan untuk memastikan perjalanan yang selamat dan selesa buat semua pengguna termasuk menyediakan jadual Cadangan Waktu Perjalanan MyPLUS ataupun MyPLUS-TTA menerusi Aplikasi PLUS bagi membantu mengagihkan trafik.
Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi aplikasi PLUS, Pembantu Maya – PUTRI, aplikasi X@plustrafik, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih atau menerusi saluran stesen radio utama negara.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan pemberian tol percuma kepada semua pengguna lebuh raya selama dua hari bermula esok sempena Deepavali.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan hari ini dilaporkan berkata tol percuma bermula pada jam 12.01 tengah malam 29 Oktober dan berakhir pada jam 11.59 malam, 30 Oktober atau Rabu ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.