Tumpuan :
Nasional

Penggubalan akta hukuman tahanan rumah bukan sebab Najib

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di Putrajaya. NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Penggubalan akta baharu berkaitan hukuman tahanan di rumah tiada kaitan dengan mana-mana individu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara.

Sebaliknya Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, penggubalan akta tersebut adalah untuk beralih daripada sistem hukuman kepada sistem keadilan pemulihan.

“Baru-baru ini dalam mesyuarat Majlis Sosial Negara, Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) telah mempengerusikan (mesyuarat) dan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) telah memberikan konteks secara menyeluruh perbincangan mengenai tindakan ataupun mewujudkan satu akta baharu berkaitan tahanan di rumah.

“Ia bermula seawal tahun lalu dalam konteks apa yang disebut sebagai peralihan pandangan kerajaan daripada ‘punitive’ (hukuman) kepada ‘restorative justice’ (keadilan pemulihan) di mana konsep keadilan itu adalah untuk mengembalikan seseorang individu yang telah didapati bersalah kembali ke dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 berkata, kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.

Mengikut peruntukan akta itu, pesalah dikehendaki berada di tempat yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan.

Saifuddin Nasution pula dilapor berkata, rang undang-undang (RUU) berkaitan hukuman tahanan di rumah itu akan dibentang pada tahun depan dan Kabinet telah memberikan kelulusan dasar untuk pelaksanaan.

Menurutnya, RUU berkenaan menyasarkan kira-kira 20,000 pesalah kategori tertentu antara lain meliputi pesalah pertama yang tidak melakukan kesalahan berat, wanita mengandung, warga emas, dan orang kurang upaya, serta layak dipertimbang selepas mereka menjalani proses tapisan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, berdasarkan kajian ke atas projek rintis yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu membabitkan 5,000 banduan menunjukkan kadar residivisme (kembali melakukan kesalahan) telah menurun kira-kira 15 peratus.

Jelasnya, dengan usaha tersebut, Jabatan Penjara menikmati penjimatan sebanyak RM19 juta.

Justeru, menurut Fahmi, projek rintis terbabit boleh diperluas kerana ketika ini terdapat 82,000 tahanan, melebihi kapasiti sedia ada iaitu 74,000 tahanan.

“Banduan ini lebih boleh diterima oleh masyarakat bila mereka menghabiskan sisa penahanan mereka dalam komuniti. Itu akan dapat membantu mengurangkan kos beban (kepada kerajaan) dan juga tekanan kepada sistem sosial negara kita bila kita dapat kawal kadar
residivisme,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini