KANGAR: Kerajaan negeri Perlis memberi jaminan bahawa setiap program bola sepak termasuk di peringkat akar umbi di negeri itu tidak terjejas meskipun Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) kini digantung keahliannya sebagai ahli gabungan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Exco Belia dan Sukan Perlis, Mohd Ridzuan Hashim berkata, aktiviti bola sepak di negeri ini masih berjalan seperti biasa kerana kemelut yang melanda hanya membabitkan PFA sahaja.
Jika dilihat daripada bidang kuasa PFA, ia hanya digantung oleh FAM sahaja dimana segala agenda atau sebarang pelaksanaan di luar Perlis serta yang mempunyai kaitan dengan FAM tidak dapat dilaksanakan.
“Namun begitu, kita lihat ia (PFA) masih boleh beroperasi (dilaksanakan) di dalam negeri ini dan aktiviti bola sepak di negeri ini berjalan seperti biasa, tidak ada masalah termasuklah program pertandingan bola sepak peringkat akar umbi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, dalam masa yang sama juga pihaknya masih menantikan kunjungan daripada pihak PFA untuk berbincang dan memberi pencerahan kepada kerajaan negeri berhubung kemelut yang melanda.
“Saya tidak mahu komen panjang berhubung penggantungan PFA ini cuma saya masih menunggu kunjungan pihak PFA untuk kita bertemu dan berbincang bersama dalam segala hal membabitkan bola sepak di negeri ini,” katanya.
Pada Rabu lalu, Jawatankuasa Eksekutif FAM bertindak menggantung PFA daripada menjadi ahli gabungan susulan kegagalan persatuan itu membayar gaji tertunggak serta pampasan kepada bekas pemain Swansea City FC, Matt Holland yang dilantik selaku Pengarah Bola Sepak negeri itu sebelum ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.