KUALA LUMPUR: Penggantungan Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang berkuat kuasa semalam, tidak akan memberi kesan kepada ahli dan perjalanan operasi pertubuhan itu.
Satu sumber daripada pertubuhan itu menjelaskan penggantungan perlembagaan itu sama seperti pernah berlaku pada 2018, iaitu apabila NAFAS turut digantung disebabkan masalah serius tadbir urus.
Beliau berkata, apabila NAFAS digantung, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan mengambil alih pengurusan agensi itu sebagai pentadbir.
Katanya, setakat ini apabila penggantungan itu berlaku, mereka yang terjejas adalah kumpulan pengurusan iaitu Lembaga Pengarah NAFAS.
“Ini bukan kali pertama penggantungan sedemikian berlaku. Sebaliknya, pada Jun 2018, iaitu sewaktu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, ia turut dilakukan.
“Ia tidak memberi kesan kepada operasi dan perjalanan tugas NAFAS kerana LPP akan mengambil alih pentadbiran, dengan tugas-tugas berkaitan akan dilaksanakan oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Peladang,” katanya.
Semalam, Pendaftar Pertubuhan Peladang menggantung Perlembagaan NAFAS berkuatkuasa serta merta.
Arahan penggantungan itu dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Peladang, Amir Matamin, selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang di bawah Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).
Katanya, dalam tempoh penggantungan itu, Jemaah Pengarah dan pihak pengurusan NAFAS tidak mempunyai kuasa seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan pertubuhan itu.
Semalam, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob berkata, penggantungan Perlembagaan itu dikhuatiri memberi kesan kepada ahli dan juga pinjaman bank.
Pada 2018, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pernah menggantung operasi NAFAS berkuat kuasa 1 Jun, susulan masalah serius tadbir urus agensi berkenaan, terutama daripada aspek kompetensi, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam barisan kepemimpinannya.
Allahyarham Salahuddin yang menjadi menteri ketika itu berkata, perintah penggantungan dikeluarkan Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) mengikut Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973, susulan audit pengurusan pada 26 Mac lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.