Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Penggantungan Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) awal bulan lalu tidak menjejaskan operasi, obligasi dan kewajipannya kepada mana-mana pihak ketiga.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengoperasian NAFAS akan dilaksanakan serta diteruskan oleh Pentadbir.
“Bagi urusan perniagaan NAFAS yang melibatkan pembekalan baja padi kepada pesawah, ia langsung tidak terjejas dan berjalan seperti biasa di bawah bidang kuasa Pentadbir NAFAS.
“Sepanjang tempoh penggantungan ini, Pendaftar Pertubuhan Peladang akan memantau urusan harian NAFAS di samping menambah baik tadbir urus dan tatakelola NAFAS bagi memperkasa semula NAFAS secara holistik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, pemantauan yang dibuat itu untuk memastikan NAFAS beroperasi mengikut hala tuju dan ‘spirit’ penubuhan NAFAS selaras dengan perundangan yang sedang berkuat kuasa.
Selain itu, Kementeriannya dan Lembaga Pertubuhan Peladang telah menggariskan beberapa strategi pembaharuan dan hala tuju bagi memastikan NAFAS dapat dipulihkan dan berfungsi mengikut objektif asalnya.
Strategi itu adalah menambah baik tatakelola NAFAS, melakukan penilaian dan penstruktuan semula tadbir uruas selain melaksanakan penstrukturan semula syariakt subsidiari NAFAS.
Tambahnya, audit pengurusan dan pemantauan berterusan juga akan dibuat selain pengukuhan mekanisme semak dan imbang serta penguatkuasaan Kod Etika dan Integriti.
Pihaknya juga turut akan mempelbagaikan sumber pendapatan dan melakukan pemulihan kepercayaan awam.
Untuk rekod, Ketua Pengarah Pertubuhan Peladang, Amir Matamin mengeluarkan arahan penggantungan NAFAS awal bulan lalu.
Katanya, dalam tempoh penggantungan itu, jemaah pengarah dan pihak pengurusan NAFAS tidak mempunyai kuasa seperti diperuntukan dalam Perlembagaan pertubuhan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.