
BATU PAHAT: Seorang penggali kubur berdepan detik cemas apabila menemui mayat rentung dalam sebuah pacuan empat roda yang terbakar di tanah perkuburan di Jalan Yong Peng-Ayer Hitam, di sini, semalam.
Mayat lelaki warga emas berusia 64 tahun itu ditemui pada jam 1 tengah hari ketika penggali kubur berusia 30-an ke lokasi sebelum segera menghubungi polis.
Difahamkan, sebelum penemuan itu, lelaki berkenaan ternampak sebuah pacuan empat roda yang dipercayai terbakar lebih dua hari lalu.
“Sebaik memeriksa bahagian dalam kenderaan, dia terkejut melihat rangka manusia rentung di tempat duduk pemandu sebelum segera menghubungi polis. Maklumat awal mendapati lelaki itu beralamat di Kluang,” katanya.
Lokasi kejadian yang terlindung daripada pandangan orang ramai menyebabkan mayat itu hanya ditemui selepas beberapa hari.
Pasukan forensik yang dimaklumkan mengenai penemuan itu tiba di lokasi pada jam 5.15 petang untuk menjalankan siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, mengesahkan penemuan mayat rentung tersebut dan memaklumkan bahawa pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.