comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengesan paras air dipasang di 30 kawasan berisiko banjir sekitar KL

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memasang ‘water level sensor’ atau pengesan paras air di 30 kawasan berisiko banjir termasuk sungai dan parit induk di sekitar ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, berkata sensor itu berperanan memberikan notifikasi mengenai kenaikan paras air kepada bilik kawalan operasi Kuala Lumpur (KLCCC) dan bertindak sebagai pengesanan awal kenaikan paras air yang berkemungkinan menyebabkan berlakunya banjir.

“DBKL juga mempunyai sejumlah aset pam mudah alih dan trak vakum dalam usaha memberi bantuan awal untuk mengalirkan air yang bertakung di permukaan jalan atau kawasan terjejas dengan lebih cepat sekali gus mengurangkan impak insiden banjir kilat.

“Selain kesiapsiagaan anggota penguat kuasa DBKL di lapangan dalam memberikan bantuan awal, pemantauan juga dilakukan secara visual melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang ditempatkan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Maimunah berkata, arahan akan dikeluarkan daripada pusat kawalan, terus kepada anggota yang berada di lapangan bagi memastikan masa tindakan sesuatu insiden banjir kilat dapat diambil dengan kadar segera.

“Kerja penyelenggaraan sistem saliran seperti kolam takungan banjir terbuka, kolam takungan bawah tanah (OSD), penyelenggaraan sungai, parit induk dan longkang di tepi jalan sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa terutama apabila hampir dengan musim Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh.

“Sebagai contoh, penyelenggaraan dan pengorekan kelodak bagi Sungai Toba, Kolam Takungan Universiti Malaya akan dibuat lebih kerap iaitu daripada kekerapan tiga bulan sekali ditingkatkan kepada sebulan sekali,” katanya.

Tambah beliau, kerja pengorekan kelodak di semua kolam-kolam takungan banjir dilakukan mengikut keperluan semasa dan jadual berkala yang telah ditetapkan.

“Pengorekan kelodak dan pembersihan dilakukan bagi memastikan sistem saliran di Kuala Lumpur berada pada tahap optimum khususnya apabila tiba musim MTL.

“Longkang-longkang tepi jalan telah dinaik taraf bukaan sesalur atau kapasitinya bagi mengurangkan implikasi banjir kilat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini