Tumpuan :
Nasional

Pengerusi SUHAKAM letak jawatan berkuat kuasa Khamis ini

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad akan meletak jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), berkuat kuasa Khamis ini, menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Kenyataan BHEUU memaklumkan sehubungan itu, kerajaan akan melantik pengerusi sementara SUHAKAM bagi memikul tugas berkenaan dalam masa terdekat.

“Dalam memastikan tatakelola SUHAKAM berjalan dengan lancar semasa sesi peralihan ini, kerajaan akan melantik pengerusi sementara dalam masa terdekat untuk menjalankan tugas sebagai Pengerusi SUHAKAM sehingga pengerusi baharu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan sama menjelaskan, Dr Rahmat yang dilantik sebagai Pengerusi SUHAKAM bagi sesi 2022-2025 telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam gerak kerja SUHAKAM sebelum ini.

Ia termasuk kejayaan sesi perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM bagi 2020 di Dewan Rakyat pada 12 hingga 14 Jun lalu.

Mengulas lanjut, Dr Rahmat kini adalah Pengerusi Lembaga Penasihat Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC Advisory Board) bagi sesi 2023-2025.

Pelantikan beliau dibuat Menteri di JPM (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada 23 Ogos lalu.

“Pelantikan ini adalah bertepatan dengan latar belakang beliau dalam bidang perundangan antarabangsa serta pengalaman beliau sebagai Setiausaha Agung kelima Pertubuhan Perundingan Undang-Undang Asia Afrika (AALCO),” menurut kenyataan BHEUU.

Sebelum ini, media melaporkan, kerajaan menubuhkan Lembaga Penasihat AIAC sebagai langkah penambahbaikan Majlis Penasihat AIAC sedia ada.

Lembaga Penasihat itu antaranya akan memainkan peranan semak dan imbang, selain menyumbang pandangan, cadangan serta nasihat strategik berkenaan pentadbiran dan pengurusan AIAC serta bertanggungjawab dalam merangka dasar penting, menentukan strategi serta pelan tindakan bagi memperkukuh dan mempertingkat aktiviti AIAC.

Loading...
Terkini