KUALA LUMPUR: Pengerusi Malaysia Building Society Bhd (MBSB) yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tan Sri Azlan Zainol meninggal dunia hari ini pada usia 72 tahun, menurut satu kenyataan dikeluarkan MBSB.
MBSB berkata Allahyarham meninggal dunia pada pukul 2.40 petang hari ini di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya, Selangor.
Azlan menerajui kumpulan itu sejak Mac 2021 dan mempunyai pengalaman perbankan selama lebih 30 tahun dengan latar belakang yang kukuh dalam perakaunan, selain itu Allahyarham juga adalah Pengerusi MBSB Bank Bhd.
“Azlan dikenali dengan gaya kepimpinannya yang tegas dan berorientasikan hasil dan melaksanakan inisiatif yang berjaya di MBSB termasuk Rangka Kerja Kelestarian yang siap sepenuhnya pada suku ketiga 2022,” kata kumpulan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Datuk Nor Azam M Taib berkata Azlan adalah seorang tokoh yang disegani dalam industri perbankan dan mempunyai kepakaran luas dalam perbankan dan strategi perniagaan.
“Kumpulan MBSB sangat bertuah kerana mendapat bimbingan dan kepimpinan eksekutifnya. Azlan sentiasa melakukan yang terbaik dan itulah cara Allahyarham membawa perubahan positif kepada kumpulan dan menyelia pembangunan Rangka Kerja Kelestarian kumpulan ini,” katanya.
Azlan juga terkenal dengan perkhidmatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, jawatan yang disandangnya selama 12 tahun dari 2001 hingga 2013.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Azlan membantu KWSP sebagai antara dana pencen terbesar di dunia, memulihkan prestasinya selepas Krisis Kewangan Asia 1997, dengan pembayaran dividen mencecah paras tertinggi 13 tahun sebanyak 6.15 peratus pada 2012 sebelum beliau bersara.
Azlan juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB), Eco World International Bhd dan YX Precious Metals Bhd, dan juga pengarah di Kuala Lumpur Kepong Bhd.
Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai pengerusi RHB Bank Bhd selama 16 tahun pada 2005 hingga 2021, dan menjadi Pengarah Urusan AmBank Bhd pada 1994 hingga 2001.