Oleh: Afrina Romzi
BEIJING: Malaysia bersiap sedia untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, dengan memberi fokus kepada keterangkuman dan perkongsian global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini berikutan kerumitan landskap global pada masa ini yang memerlukan ASEAN memikul peranan dan tanggungjawab baharu.
Beliau juga berkata ini adalah disebabkan oleh evolusi Asean kepada rantau berjumlah 671 juta orang, dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$3.8 trilion, menjadikannya ekonomi kelima terbesar di dunia.
“Oleh itu, tema pengerusi kami iaitu ‘Inklusiviti dan Kelestarian’ pada 2025 mencerminkan visi ASEAN di mana semua ahli, tanpa mengira saiz atau kapasiti ekonomi, mendapat manfaat daripada pertumbuhan dan pembangunan,” katanya semasa memberi syarahan terbuka di Universiti Peking Beijing, hari ini.
Syarahan beliau bertajuk ‘Memperkukuh Masa Hadapan: Malaysia-China dan Kepusatan ASEAN dalam Peralihan Perintah Global’ di Universiti Peking.
Pada masa sama, Anwar menambah bahawa hubungan ASEAN-China juga mencerminkan komitmen bersama terhadap inovasi dan teknologi baharu.
Beliau juga menyatakan bahawa China telah mencapai kemajuan besar dalam bidang transformasi digital, kecerdasan buatan dan tenaga hijau yang dilihat ASEAN sebagai penting untuk menangani cabaran global dan menggalakkan daya tahan jangka panjang.
Perdana Menteri juga menekankan komitmen Malaysia untuk melaksanakan forum tiga hala melibatkan ASEAN, China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), yang akan memperkenalkan dimensi unik kepada hubungan ASEAN-China.
Beliau menambah bahawa platform itu juga bertujuan mengembangkan perkongsian ASEAN dan mengiktiraf kepentingan rantau GCC yang semakin meningkat dalam perdagangan global dan geopolitik.
“Dengan menghubungkan ASEAN, China dan GCC, kita boleh merapatkan Asia Timur, Asia Tenggara, dan Timur Tengah untuk membolehkan hubungan ekonomi, budaya dan strategik yang lebih mendalam di antara wilayah kita.
“Ini akan menyumbang kepada mewujudkan visi bersama untuk kerjasama mengenai cabaran global seperti keselamatan tenaga, pembangunan mampan dan kepelbagaian ekonomi,” ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.