Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohamamd Sudin
PUTRAJAYA: Pengendali bas henti-henti perlu mematuhi ketepatan masa mengikut jadual sekurang-kurangnya 80 peratus trip yang dijalankan setiap hari bagi mendapatkan Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-henti (ISBSF).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, itu antara penambahbaikan kontrak perjanjian dana tersebut dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada orang ramai.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan membayar subsidi kepada pengendali bas tersebut untuk semua laluan sekiranya gagal mencapai tahap itu untuk mana-mana laluan.
“Dalam perjanjian sebelum ini iaitu pada 2021-2022, kerajaan hanya pantau jumlah trip yang disediakan oleh pengendali. Namun untuk kontrak perjanjian baharu ini, kita akan turut memantau ketepatan masa,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian ISBSF 2023 di sini hari ini.
ISBSF adalah dana bagi membantu pihak pengendali bas henti-henti menampung kos operasi harian, terutamanya bagi laluan di kawasan luar bandar.
Inisiatif yang diwujudkan sejak 2012 berkenaan membolehkan pengendali bas meneruskan perkhidmatan di laluan yang mengalami kerugian dengan subsidi kerajaan, manakala penumpang pula dapat terus menikmati perkhidmatan bas henti-henti yang disediakan oleh pengendali.
Mengulas lanjut, Loke berkata, dalam kontrak perjanjian baharu itu juga, kerajaan akan mewajibkan penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai (cashless) pada kali ini.
Menurutnya, pengendali perlu memastikan sistem ‘cashless’ dipasang dan digunakan untuk melayakkan mereka menerima subsidi ISBSF.
“Pengendali juga akan dibayar kos maksimum RM450 sebulan untuk setiap kenderaan yang dipasang sistem ‘cashless’ bagi memastikan tidak berlaku lagi ketirisan hasil tambang yang dikutip,” katanya.
Sementara itu, dari segi tempoh kontrak pula, Loke berkata, buat pertama kalinya, kontrak disediakan untuk tempoh tiga tahun kepada pengendali.
Ujarnya, pemberian kontrak tiga tahun itu menunjukkan komitmen kerajaan kepada pengendali bas henti-henti untuk terus menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.
“Namun, saya juga ingin mengingatkan bukan semua pengendali akan dapat kontrak tiga tahun. Hanya pengendali yang mencapai prestasi 70 peratus dan ke atas dalam tempoh 2021-2022 sahaja akan dapat tempoh tiga tahun untuk kontrak baharu ini.
“Manakala bagi pengendali yang mencapai prestasi di antara 50 peratus hingga 70 peratus akan menerima kontrak untuk tempoh setahun.
Saya ingin tegaskan bahawa pengendali yang tidak menyediakan perkhidmatan dengan baik sebelum ini serta tidak mencapai prestasi 50 peratus tidak akan menerima tawaran kontrak baharu,” katanya.
Pada majlis itu, sebanyak 37 syarikat bas henti-henti menandatangani perjanjian perlanjutan kontrak bantuan ISBSF membabitkan 26 syarikat pengendali menerima kontrak tiga tahun manakala 11 syarikat menerima kontrak setahun dengan peruntukan kerajaan yang dianggarkan sebanyak RM169.87 juta.