comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengelasan T15 diperhalusi, kriteria baharu untuk subsidi yang lebih adil – Rafizi

Rafizi ditemui ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Statistik Negara 2024 dan Prapelancaran Laman Statistik di Putrajaya, hari ini. – FOTO: NSTP

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PUTRAJAYA: Pengelasan kumpulan pendapatan T15 akan diperhalusi bagi memastikan penyasaran subsisi dilakukan dengan lebih adil.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang merujuk kepada pembentangan Belanjawan 2025 berkata, kumpulan itu tidak akan menerima manfaat subsidi pada tahun depan diukur dengan kadar 15 peratus isi rumah teratas dalam konteks pendapatan dalam masyarakat.

Selain itu Rafizi berkata pengelasan pendapatan rakyat selepas ini tidak akan diukur berdasarkan pendapatan kasar isi rumah, sebaliknya mengambil kira faktor lain agar ianya lebih adil.

Beliau berkata, kaedah baharu yang sedang diteliti kerajaan itu antara lain akan mengambil kira pendapatan bersih isi rumah untuk memastikan rakyat dapat menjalani kehidupan yang lebih wajar.

“Saya boleh sahkan bahawa dia bukanlah menggunakan pendapatan isi rumah kasar semata-mata. Proses untuk kita menambah baik berdasarkan pendapatan isi rumah bersih sedang berjalan.

“Yang dirujuk kepada B40, T15, beberapa proses untuk kita menambah baik berdasarkan konsep pendapatan isi rumah bersih itu sedang berjalan,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Statistik Negara 2024 dan Prapelancaran Laman Statistik di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata penyasaran subsidi petrol RON95 akan dilaksanakan dengan kaedah ‘two-tier pricing’.

Katanya, golongan yang tidak layak menerima subsidi iaitu kumpulan dengan pendapatan 15 peratus teratas, perlu membayar harga pasaran di pam minyak.

Beliau berkata 85 peratus rakyat akan terus dapat menikmati bahan api itu pada harga bersubsidi apabila penyasaran itu dilaksanakan pada pertengahan tahun hadapan.

Tambahnya, kerajaan bagaimanapun ketika ini sedang meneliti mekanisme terbaik bagi membolehkan perkara itu dilaksanakan.

“Harga minyak hanya perlu dibayar pada harga pasaran oleh orang yang tidak layak mendapat subsidi.

“Itu yang disebut T15, siapa sebenarnya T15 ini, ini la yang sedang kita teliti ketika ini melalui proses itu,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini