comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengkelasan B40, M40, T20 dihapuskan mulai 2024

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menghapuskan pengkelasan B40, M40 dan T20 secara berperingkat mulai tahun depan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, pihaknya telah membincangkan perkara berkenaan dan semua pihak bakal melihat peralihan daripada subsidi blanket dan pengkelasan B40, M40 dan T20 akan dihapuskan secara berperingkat mulai 2024.

“Beberapa inisiatif atau dasar yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini adalah berbeza berbanding dengan pendekatan yang dilakukan oleh pentadbiran sebelum ini, termasuk perkara yang membabitkan bantuan atau subsidi.

“Kerajaan juga perlu memastikan bahawa semua infrastruktur yang sedia ada dan perlu melakukan ujian perintis, sebelum mengambil keputusan berapa tahap pendapatan yang layak diberikan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Mesin Layan Diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, hari ini.

Menurut Rafizi, kerajaan kini sedang cuba meminimumkan kesilapan pengecualian subsidi yang berlaku akibat pengkelasan kategori gaji, namun ia perlu dijalankan secara berperingkat.

“Contohnya di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN), minggu ini kita sudah mula bincang mengenai simulasi, siapa yang patut dapat apa, apakah pendekatan yang akan diberikan, adakah akan diberi penambahan nilai pendapatan dan sebagainya.

“Kami akan melaksanakan satu demi satu, bantuan sosial yang disepadukan berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah.

“Perkara berkenaan mampu direalisasikan dengan kerjasama pelbagai agensi menerusi perkongsian dalam Pangkalan Data Utama (PADU), sekali gus memastikan keberkesanan pelaksanaan program subsidi kerajaan,” katanya.

Mei lalu, Rafizi memaklumkan kerajaan akan mula melaksanakan peralihan dasar sosioekonomi daripada pendekatan berasaskan pendapatan B40, M40 dan T20 kepada berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah, bermula Januari 2024.

Katanya, penubuhan PADU akan mempercepatkan peralihan kerajaan untuk membangunkan program dan inisiatif berpandukan kedudukan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah termasuk membabitkan subsidi bersasar.

Loading...
Terkini