comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengecilan lorong PLUS Sedenak – Kulai, tidak libat perayaan utama

CAPTION: Ahmad (dua dari kanan) meninjau kerja-kerja penambahan lorong PLUS Sedenak-Kulai di Sedenak, di sini. FOTO: NSTP

KULAI: Pengecilan lorong bagi projek pembinaan lorong tambahan lebuhraya Utara -Selatan laluan Sedenak-Kulai fasa satu pakej A, dijangka tidak melibatkan musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri pada tahun depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pengecilan lorong dibuat daripada 3.65 meter kepada 3.5 meter.

Katanya langkah itu akan menyebabkan had laju dikurangkan daripada 110 kilometer (km) sejam kepada 90 km sejam.

“Sehingga bulan Jun tahun hadapan, tidak ada sebarang kesukaran dari segi lalu lintas kerana kita tidak menutup sebarang lorong. Namun pada bulan Jun tahun hadapan ada kesukaran kerana pengecilan lorong daripada 3.65 meter dikurangkan kepada 3.5 meter untuk satu lorong.

“Masih ada lagi dua lorong tapi lorongnya dikecilkan,oleh kerana lorong dikecilkan had laju dikurangkan, jadi tempoh itu kawasan ini akan jadi sesak sedikit. Walaubagaimanapun ia adalah untuk tujuan kebaikan pada masa akan datang.

“Kita telah mengaturkan untuk raya (Tahun Baru Cina dan Hari Raya) tahun depan ini tidak akan ada yang terlibat, sehingga bulan enam tahun depan. Kemudian untuk raya pada 2026, penambahan lorong Sedenak-Kulai (arah selatan) telah siap jadi 3.65 akan dikembalikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja projek berkenaan di Sedenak-Kulai di Sedenak, di sini, hari ini.

Menurut Ahmad, kerja-kerja bagi laluan Sedenak-Kulai (fasa satu pakej A) berjalan lancar tanpa kelewatan.

Katanya perkiraan jadual kerja juga telah dibuat dengan mengambil kira musim Monsun Timur laut (MTL) ketika ini.

“Tentunya ada dalam perkiraan apabila kita telah memberikan tempoh itu kerja-kerja perlu dilaksanakan dan dijalankan. Waktu malam pun ada pengalihan urusan trafik dibuat, bererti mereka bukan hanya bekerja siang tapi ada sedikit kerja-kerja dilakukan pada waktu malam dan apabila cuaca belum hujan itu saya kira.

“Tolong disegerakan, ini adalah hasrat rakyat Johor begitu lama, saya masih ingat kita menyatakan hasrat ini pada pilihan raya 2018 lagi, pilihan raya 2018 adalah merupakan kita punya manifesto Barisan Nasional (BN) pada ketika itu.

“Walaupun tidak kesampaian tapi akhirnya bersama Kerajaan Perpaduan sekarang kita telah memulakan, dan melaksanakan segala yang kita telah impikan sebelum ini,” katanya.

Projek penambahan lorong ini antara projek berimpak tinggi membabitkan jarak sepanjang 21.8 kilometer (KM) Senai ke Sedenak dan dijangka siap pada Jun 2027, melibatkan peruntukan sejumlah RM525 juta.

Bagi fasa kedua projek PLUS pula, ia akan merangkumi jarak sejauh 16.6 KM yang bermula dari Sedenak ke Simpang Renggam dan dijangka bermula pada suku pertama tahun 2025 serta siap sepenuhnya menjelang suku keempat 2028.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini