Tumpuan :
Nasional

Pengawal keselamatan terkilan tak cuba hampiri kereta 2 beranak maut

Pengawal keselamatan dikenali sebagai Ahmad menunjukkan lokasi sebuah kereta BMW diparkir di tepi jalan hadapan sebuah sekolah di Bandar Baru Uda (BBU) sebelum mayat ibu dan anak ditemui di dalamnya. FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan terkilan kerana tidak cuba menghampiri dan melihat keadaan pemandu atau penumpang kereta BMW lebih awal sebelum dilaporkan terdapat dua beranak maut dalam kenderaan itu, kelmarin.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 60, berkata ketika kereta BMW itu diparkir di tepi jalan hadapan sebuah sekolah di Bandar Baru Uda (BBU) di sini, petang kelmarin, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana setiap hari banyak kereta berhenti di lokasi berkenaan.

Ketika dia tamat waktu bekerja pada jam 7 malam, kereta BMW berkenaan masih berada di lokasi sama dengan enjin masih hidup.

“Memang biasa ada kereta yang berhenti sekejap di tepi jalan sama ada berhenti nak gunakan telefon bimbit atau ada yang periksa kereta rosak atau sebagainya.

“Jadi, apabila kereta BMW itu berhenti kira-kira jam 2 petang, saya memang tidak syak apa-apa. Cuma, apabila beberapa kali saya dengar bunyi pedal minyak ditekan, saya tengok dari jauh, tetapi cermin kereta gelap tidak nampak siapa dalam.

“Sehingga jam 7 malam, saya tidak nampak sesiapa pun keluar dari kereta itu, tetapi enjin kereta masih hidup sehinggalah saya terkejut apabila pada sebelah malam, rakan sekerja beritahu ada ibu dan anak meninggal dunia dalam kereta berkenaan,” katanya Ketika ditemui BH di lokasi kejadian, semalam.

Ahmad berkata, dia terkilan kerana pasti akan menghulurkan bantuan awal sebelum sebarang perkara buruk berlaku.

Semalam, media melaporkan seorang ibu ditemui meninggal dunia bersama anak perempuan bongsunya dalam kereta yang diparkir di tepi jalan hadapan sekolah berkenaan.

Perkongsian di Facebook memaklumkan dua beranak itu dikenali sebagai Nasran Azizah Ahmad, 44, dan Nur Myiesya Dhaneeya Mohamed Syakir, 14.

Difahamkan, jenazah ibu dan anak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu di sini, kira-kira jam 3 petang semalam, selepas bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini