Tumpuan :
Nasional

Pengawal keselamatan maut, motosikal dirempuh kereta cuba memotong

Keadaan motosikal mangsa akibat bertembung dengan Perodua Myvi. Gambar kecil, Ahmad Halime Yusof, 56, pengawal keselamatan yang maut dalam nahas. – FOTO: NSTP

BALING: Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Bandar, Jalan Baling/Weng/Tanjung Pari, di sini malam tadi.

Mangsa, Ahmad Halime Yusof, 56, dari Kampung Bechah Sawa, Mukim Siong, yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata anggotanya menerima maklumat berhubung kemalangan jam 9.50 malam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati motosikal terbabit dari arah Baling menghala ke Tanjung Pari.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu lelaki berusia 42 tahun dari arah bertentangan gagal memotong dan memasuki laluan bertentangan, lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

“Penunggang motosikal itu terjatuh di bahu jalan sebelah kiri, manakala pemandu kereta terbabit hilang kawalan dan melanggar pengadang besi jalan di sebelah kiri,” katanya hari ini.

Shamsudin berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim.

“Pemandu kereta cedera ringan di muka. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Loading...
Terkini