Tumpuan :
Nasional

Pengasuh paling ramai dera kanak-kanak di Selangor

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada sidang media selepas merasmikan Child Interview Center (CIC2) D11 Jabatan Siasatan Jenayah Selangor di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam, hari ini.

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

SHAH ALAM: Golongan pengasuh merekodkan jumlah pelaku tertinggi dalam kes penderaan kanak-kanak di negeri Selangor setakat Oktober tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, trend itu dikesan susulan seramai 89 orang pengasuh telah ditahan ekoran kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Katanya, bulan September mencatatkan kes penderaan kanak-kanak tertinggi iaitu sebanyak 56 kes.

“Bermula Januari hingga Oktober tahun ini, seramai 387 orang kanak-kanak menjadi mangsa penderaan.

“Daripada 387 kes, 89 suspek merupakan pengasuh, 78 guru dan 69 ibu atau bapa tiri,” katanya kepada media selepas merasmikan Child Interview Center (CIC2) D11 Jabatan Siasatan Jenayah Selangor di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam, siang tadi.

Dalam pada itu katanya, terdapat dua faktor utama yang menyebabkan kanak-kanak menjadi mangsa dera.

“Daripada 387 kes ini, yang paling tinggi adalah sebab kecuaian dan yang kedua adalah pengabaian.

“Kecuaian ini bermaksud, dia tinggal anak tanpa ada penjagaan, selain mungkin mendedahkan anak-anak itu dalam keadaan bahaya,” ujarnya.

Jelasnya, kanak-kanak di bawah umur satu tahun menjadi mangsa teramai dengan 139 kes, diikuti kanak-kanak dua hingga lima tahun seramai 96 orang.

Kanak-kanak enam hingga 10 tahun pula seramai 62 orang, 11 hingga 15 tahun (49 orang) dan 16 hingga 18 tahun (41 orang).

Tambahnya, walaupun jumlah keseluruhan kes tersebut menunjukkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya, namun ia tidak begitu ketara.

“Tetapi peningkatan ini saya boleh katakan kerana kesedaran terhadap perkara ini. Sebab pihak D11 dah pergi ke sekolah, tahfiz dan sekolah agam untuk beri pendedahan, taklimat, apa itu penderaan, apa itu gangguan seksual, apa yang boleh, apa yang tidak.

“Jadi daripada situ ramai yang tampil buat laporan, jadi peningkatan bukan sebab kes meningkat, tapi sebab ramai mangsa buat laporan termasuk pihak sekolah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini