JOHOR BAHRU: Seorang pengasuh yang masih berdepan perbicaraan kes dera di mahkamah ditahan kerana disyaki mendera bayi lelaki jagaannya yang berusia tujuh bulan di Taman Universiti di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh, berkata wanita tempatan berusia 34 tahun itu ditahan di rumahnya selepas laporan polis dibuat ibu bayi berkenaan jam 4.30 pagi, semalam.
Beliau berkata mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini oleh ibu bapanya untuk mendapatkan rawatan Khamis lalu.
Pemeriksaan mendapati ada beberapa kesan lebam pada tubuh bayi itu.
“Mangsa masih di bawah pemerhatian pihak HSA dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Siasatan awal mendapati wanita itu menafikan mendera mangsa. Dia juga pernah dituduh di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membabitkan penderaan terhadap seorang kanak-kanak lain pada 2021. Kes itu masih dalam proses perbicaraan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.