JOHOR BAHRU: Pengasuh tular kerana disyaki mengasari bayi di sebuah taska di Mutiara Rini, Skudai direman empat hari.
Perintah reman dikeluarkan Majistret R Salini ke atas suspek wanita berusia 21 tahun itu bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001.
Suspek warga tempatan itu akan ditahan reman sehingga Jumaat ini.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek ditahan kira-kira jam 2 pagi tadi di kawasan Bandar Selesa Jaya, Skudai.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku di sebuah taska yang berada di kawasan Mutiara Rini.
“Mangsa adalah bayi perempuan berusia 11 bulan dan bayi lelaki berusia sembilan bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini .
Menurut beliau, siasatan awal mendapati taska berkenaan tidak mempunyai lesen sah untuk beroperasi.
Semalam, tular di media sosial dua video berdurasi 48 saat dan 39 saat memaparkan seorang wanita mengasari seorang bayi.
Polis sedang mengesan seorang wanita yang mengasari seorang bayi seperti dalam video yang tular sejak semalam. pic.twitter.com/Fe3CVCW1Ne
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) May 16, 2023
Wanita itu dilihat memukul bayi yang sedang menangis sambil menepuk kepala bayi terbabit .
Malah dia turut meniup muka bayi berkenaan sehingga menyebabkan bayi itu seperti sukar bernafas.