KUANTAN: Polis sedang menyiasat seorang pengasuh wanita di sini, berkaitan dengan muka seorang bayi berusia 10 bulan yang mengalami kemerahan pada 13 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan dilakukan selepas ibu bayi yang berusia 26 tahun membuat laporan polis pada 14 Januari lalu.
Menurutnya berdasarkan laporan yang dibuat, ibu bayi itu menghantar anaknya ke rumah pengasuh dalam keadaan sihat pada jam 7 pagi, 13 Januari lalu.
“Pada 1.52 tengah hari, ibu mangsa dimaklumkan oleh pengasuh bahawa keadaan muka anaknya mengalami kemerahan ketika bangun daripada tidur.
“Ibu bayi berkenaan kemudiannya mengambil anaknya dari rumah pengasuhnya itu dan terus membawanya ke sebuah klinik sebelum ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan lanjut.
“Pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar kulit pada 15 Januari lalu, mengesahkan keadaan kemerahan pada muka bayi berpunca daripada kesan panas yang berkemungkinan terkena muka mangsa.
“Siasatan awal terhadap pengasuh mengesahkan ada memandikan bayi itu dengan air suam pada waktu pagi sebelum tindak balas kemerahan pada muka berlaku sejurus dimandikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan kes itu, beliau berkata, pengasuh berusia 32 tahun ditahan di rumahnya pada jam 5.50 petang, 16 Januari lalu, untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Katanya, kes diklasifikasi mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.