comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengasingan kuasa AG, pendakwa raya: Kajian di UK akan dimulakan tak lama lagi – Azalina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR: Kajian mengenai pengasingan kuasa antara peguam negara (AG) dan pendakwa raya di United Kingdom (UK) akan dimulakan tidak lama lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, UK akan menjadi negara terakhir di mana fasa pertama kajian empirikal itu akan dijalankan.

“Kerajaan kini sedang memuktamadkan tarikh lawatan ke UK dan pengumuman akan dibuat sebaik sahaja ia disahkan,” katanya ketika sidang di Kamar Khas di Parlimen hari ini.

Azalina berkata, kajian sama sudah pun dijalankan di Kanada antara 5 hingga 10 Mei, manakala di Australia antara 2 hingga 6 Jun lalu.

Beliau menegaskan, sistem perundangan di negara-negara ini unik disebabkan faktor sejarah.

“Di Kanada dan Australia, peguam negara adalah anggota Parlimen dan memegang status menteri Kabinet.

“Mengenai pendakwaan, peguam negara tidak campur tangan dalam urusan pendakwaan melainkan ia melibatkan keselamatan negara atau keganasan.

“Pendakwa raya di kedua-dua negara mempunyai kebebasan untuk memulakan atau menghentikan pendakwaan tanpa memerlukan kelulusan daripada peguam negara,” tambahnya.

Sementara itu, Azalina berkata kajian saintifik memfokuskan kepada persepsi awam mengenai pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya akan dijalankan dalam tempoh enam bulan.

“Kerajaan akan bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjalankan kajian ini, melibatkan pihak berkepentingan berkaitan seperti orang awam, agensi penguatkuasaan, pakar, dan kerajaan negeri.

“Kami kemudiannya akan menyusun dan menganalisis data dikumpul daripada pihak-pihak ini, termasuk pandangan daripada perbincangan kumpulan fokus,” katanya memaklumkan permulaan kajian ini menjadi bukti komitmen kerajaan MADANI dalam aspek reformasi institusi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini