comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengaruh rakan, ahli keluarga alasan pelajar hisap vape 

Oleh : Fahim Akasha Musa

PETALING JAYA: Penggunaan rokok elektronik atau ‘vape’ semakin membimbangkan terutama di kalangan pelajar sekolah.

Vape juga lebih mudah disorok menyebabkan pelajar sekolah memilih untuk menggunakan peranti itu berbanding rokok.

Ketika ditemui Buletin TV3, seorang pelajar mendedahkan punca dia mula menghisap vape kerana pengaruh rakan sebaya.

“Mula-mula dia orang bawa (vape) pergi sekolah, lepas tu dia orang suruh saya cuba dan saya cubalah.

“Masa tu saya hisap dia orang punya vape je, tapi lama-lama saya rasa saya nak beli dan saya mula membeli” katanya.

Hud yang berusia 17 tahun menambah bahawa dia mula menghisap vape sejak dua tahun lalu.

Seorang lagi pelajar yang ditemui berkata dia sering mengikut abangnya berniaga dan berkongsi vape dengan abangnya ketika mereka tiada pelanggan.

Syahir, 17 tahun berkongsi bahawa dia juga merokok tetapi lebih gemar menghisap vape.

“Vape ada perisa, saya suka dengan perisa dia yang manis dan vape ni tahan lama sikit berbanding rokok.

“Selalunya saya simpan duit belanja yang mak saya bagi dan saya akan guna untuk beli vape setiap hujung bulan” katanya kepada Buletin TV3.

Itu antara alasan diberikan ketika ditanya tentang punca mereka menghisap vape.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mencatatkan peningkatan penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun meningkat dari 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada tahun lalu.

Trend membimbangkan itu turut berlaku dalam kalangan remaja perempuan iaitu dari 2.8 peratus pada 2017 meningkat kepada 6.2 peratus pada 2022.

Ikuti temubual bersama Pakar Perubatan Kesihatan Awam dalam bahagian dua laporan mengenai penggunaan vape di kalangan pelajar sekolah esok.

Loading...
Terkini