![](https://media.buletintv3.my/2025/02/f9OXREQH-BTV3-NEW-15.jpg)
TANAH MERAH: Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu, Nasrul Hadi Saidi meninggal dunia di Hospital Tanah Merah malam tadi, akibat serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah, berkata pada jam 8.24 malam, balai polis Tanah Merah menerima makluman awal mengenai kejadian seorang lelaki yang tidak sedarkan diri ketika dalam perjalanan dari Kedah ke Terengganu.
Katanya, pengadu memaklumkan ketika dalam perjalanan menghadiri majlis Kalam Madani di Besut, Terengganu, mangsa terkena serangan jantung sebanyak dua kali.
“Serangan kali kedua menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Tanah Merah bagi mendapatkan rawatan.
“Namun, doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia. Hasil bedah siasat oleh pihak forensik mendapati punca kematian disebabkan oleh serangan jantung,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengadu memaklumkan, mangsa pernah terkena serangan jantung pada 2019 dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu dengan memasang ‘stent’ pada jantung.
Menurutnya, seluruh warga Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.