AYER KEROH: Seorang pengarah urusan syarikat swasta direman enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah bagi mendapatkan gelaran Datuk Sri daripada sebuah negeri kira-kira tiga tahun lalu.
Perintah itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, SR Arthana berkuat kuasa hari ini hingga 6 Januari untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melengkapkan siasatan kes itu.
Sumber berkata, suspek berusia 62 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.35 petang semalam di Pejabat SPRM Melaka bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Bulan lalu dua individu termasuk seorang wanita masing-masing seorang pengurus syarikat swasta di Selangor juga ditahan bagi membantu siasatan kes sama.
Menurut sumber, siasatan dijalankan terhadap lelaki itu berhubung permintaan dan penerimaan rasuah berjumlah lebih RM375,000 daripada seorang individu bagi mendapatkan gelaran Datuk Seri dari sebuah negeri yang dilakukan secara bersindiket.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi dan penjara maksimum 20 tahun.
Terdahulu, suspek yang berpakaian baju lokap SPRM berwarna jingga tiba di mahkamah kira-kira jam 9.15 pagi dengan menaiki kenderaan khas SPRM.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.