Tumpuan :
Dunia Seni

Pengarah nafi persenda Islam dalam filem Mentega Terbang

Pengarah, Mohd Khairi (kiri) dan penerbit, Tan Meng Kheng (kanan) nafi semua bentuk dakwaan filem Mentega Terbang berusaha menghujat, mengkufur dan berhasrat mewujudkan budaya murtad dalam kalangan orang Islam seperti didakwa Zabidi. – Foto: Instagram Mentega Terbang

KUALA LUMPUR: Pengarah dan penulis skrip filem kontroversi, Mentega Terbang, Mohd Khairi Anwar Jailan menafikan filem terbitan Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment itu bertujuan mempersenda agama Islam seperti didakwa penulis, Zabidi Mohamed.

Mohd Khairi dalam satu kenyataan dalam Instagram (IG) mewakili produksi Mentega Terbang mengemukakan notis tuntutan oleh peguam dilantik, Daim & Gamany Advocates & Solicitors bertajuk ‘Fitnah Terhadap Penerbit, Direktor Dan Penulis-Penulis Skrip Filem Mentega Terbang’ dan dihantar kepada Zabidi pada 3 Mac lalu.

Notis itu turut mendakwa penulisan Zabidi adalah tidak benar, berniat jahat dan fitnah, selain bertujuan menjejaskan imej, reputasi serta kredibiliti untuk mendatangkan kutukan dan ancaman.

“Kami merujuk kenyataan dibuat Zabidi dalam laman Facebook pada tarikh 25 Februari, 2 Mac dan 3 Mac yang tersebar secara meluas sejak beberapa hari lalu.

“Kami dengan tegas menafikan sebarang dan semua bentuk dakwaan bahawa filem Mentega Terbang sama sekali berusaha untuk menghujat, mengkufur dan berhasrat untuk mewujudkan budaya murtad dalam kalangan orang Islam seperti didakwa Zabidi,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di IG @mentegaterbangmovie.

Justeru, Mohd Khairi menjelaskan, pihaknya menuntut Zabidi memadam kenyataan disifatkan berbaur fitnah itu, selain membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Kami mengarahkan peguam membuat tuntutan daripada Zabidi supaya memadamkan kenyataan dan memohon maaf secara terbuka atas kenyataan fitnah dibuat terhadap saya dan pasukan filem Mentega Terbang,” katanya.

Selain Mohd Khairi, empat lagi individu yang terbabit dalam penghasilan filem Mentega Terbang iaitu Tan Meng Kheng, T Arjun, R Vishnuvarman dan Ti-Teng Hui turut menafikan setiap dakwaan dilemparkan Zabidi.

Terdahulu, Zabidi menerusi hantaran dalam Facebook (FB) bertarikh 25 Februari lalu menyatakan: “Filem ini menghina, meremeh, merendah-rendahkan, menodai dan mempersenda Islam secara terang-terangan (blasphemy).”

Pada hantaran bertarikh 2 Mac lalu, Zabidi menyatakan: “Saya sudah menontonnya hingga habis dan dapatan saya filem ini secara terang-terangan dan buka lagi secara halus atau ‘subtext’ adalah satu usaha terancang untuk memurtadkan umat Islam di Malaysia dan sasaran adalah remaja sekolah.”

Sejak minggu lalu, filem Mentega Terbang tular selepas dikecam mengandungi babak didakwa seakan-akan mempersendakan agama Islam dan menyentuh sensitiviti umat Islam.

Filem berdurasi sejam 45 minit itu menjadi bualan hangat kerana mengandungi babak seorang bapa yang berfikiran terbuka apabila tidak menghalang anak memilih agama, di mana perbuatan itu bertentangan dengan agama Islam. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini