Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Pengarah Jabatan Landskap sebuah agensi kerajaan di Pulau Pinang direman lima hari bersama seorang kontraktor bagi membantu siasatan berhubung penerimaan suapan dalam bentuk tajaan inap desa tahun lalu.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Azlan Basri selepas mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini.
Terdahulu, kedua-dua suspek yang berbaju lokap SPRM tiba di mahkamah pada jam 8.55 pagi, diiringi pegawai SPRM.
Menurut sumber, pengarah bahagian landskap berusia 42 tahun itu dipercayai menerima tajaan inap desa bernilai RM2,420 di Tanjong Tokong daripada kontraktor berusia 37 tahun sebagai balasan untuk mendapatkan projek landskap agensi berkenaan.
Kedua-dua suspek ditahan pada jam 2 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah mengesahkan tangkapan tersebut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.