comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

Pengarah filem Dia Ibuku, Yassin Salleh meninggal dunia

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Penyair dan pengarah filem prolifik, Yassin Salleh, 78, meninggal dunia di kediamannya di Dengkil, Selangor, pada jam 12.35 tengah hari tadi.

Berita pemergian sutradara yang terkenal dengan filem Dia Ibuku itu disahkan anak keduanya, Yasleh Hani Wati.

“Iya betul, ayah meninggal tengah hari tadi. Puncanya berkemungkinan selepas ayah terjatuh di bilik air pada 5 September lalu.

“Selepas buat pemeriksaan di hospital, doktor beritahu, tulang di bahagian paha kiri ayah patah dan kemudian diteruskan dengan pembedahan.

“Kemudian apabila dibenarkan pulang ke rumah pada 16 September lalu, ayah jadi berbeza. Ayah tidak mahu makan dan keadaannya memang nampak lemah sehinggalah hari ini disahkan meninggal dunia,” katanya kepada BH.

Yasleh memberitahu, bapanya juga dilihat sudah bersedia untuk ‘pergi’ buat selama-lamanya.

Malah, katanya, arwah bapa mempunyai pelbagai penyakit lain seperti angin ahmar, kencing manis dan darah tinggi.

“Ayah pernah diserang angin ahmar pada 2012, selepas itu ayah mula bertongkat. Ayah ada penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Selepas ibu meninggal dunia pada 2010, ayah kerap mengingatkan mengenai kematian dan meminta agar dirinya dikebumikan berhampiran kawasan rumah.

“Ayah seolah-olah sudah bersedia hendak pergi,” katanya.

Jenazah Allahyarham Yassin dibawa ke Masjid Dengkil untuk diurus dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dengkil, petang tadi.

Sejak mengabdikan diri dalam dunia seni, Allahyarham Yassin mencapai banyak kejayaan membanggakan. Paling dikenang adalah filem Dia Ibuku yang dibintangi Datuk Sarimah Ahmad pada 1980, meraih 10 trofi pada Festival Filem Malaysia (FFM) 1981, rekod yang dikatakan tidak pernah dipecahkan pembikin filem lain.

Allahyarham Yassin juga dilapor terbabit dalam pementasan teater seperti Teater Atas Pokok pada 2016 serta Uda dan Dara (2017).

Allahyarham Yassin juga menerbitkan koleksi puisi iaitu Simfoni Sepi pada 2012, Ikan Ikan Di Kaca (2015) dan Himpunan Sajak Cinta Rakyat (2019).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini