![](https://media.buletintv3.my/2023/06/sprm-logo-generic.jpg)
MELAKA: Seorang pengarah yang juga pengurus jualan di sebuah syarikat swasta di negeri ini direman lima hari selepas disyaki membuat tuntutan palsu berkaitan kerja perbekalan peralatan sukan badminton berjumlah RM78,812.60, kira-kira dua tahun lalu.
Perintah reman sehingga 15 Februari ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret 2 di Ayer Keroh hari ini selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka, bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Sumber memaklumkan suspek lelaki berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.
“Suspek ditahan atas dakwaan mengemukakan dokumen yang mempunyai butir matan palsu kepada seorang akauntan di sebuah syarikat pembekalan bagi kerja-kerja pembekalan alatan sukan badminton berjumlah keseluruhan RM78,812.60 sedangkan pembekalan tidak sempurna dilaksanakan,” katanya.
Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman itu serta memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.