Tumpuan :
Nasional

Pengarah antara 8 ditahan kes lulus lesen kenderaan perdagangan

Antara barang dan dokumen yang dirampas. – FOTO: Ihsan SPRM.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperluas siasatan berhubung isu rasuah membabitkan pemeriksaan kenderaan perdagangan dengan penahanan lapan lagi individu, dalam Op Loader, hari ini.

Antara yang ditahan termasuk pengarah sebuah agensi di bawah sebuah kementerian dan tiga pengarah syarikat.

Menurut sumber, kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan di beberapa lokasi sekitar Melaka dan Lembah Klang antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari ini.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan ini disyaki terbabit dalam kegiatan mendapatkan surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP) daripada sebuah agensi tanpa memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan.

“Syarikat ini dipercayai bersekongkol dengan pegawai daripada agensi berkenaan dengan menyediakan maklumat palsu bagi mendapatkan surat tawaran kelulusan permohonan baharu LKP Kelas Lesen Pembawa dengan bayaran sebanyak RM3,500 setiap permohonan.

“Pihak syarikat akan membantu mana-mana pihak memalsukan dokumen seperti penyata bank dan menguruskan proses permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan (STK), Surat Kelulusan Lanjut Usia (SKLU) bagi membolehkan kenderaan Perdagangan menjalani Pemeriksaan Awalan Puspakom,” katanya.

Menurut sumber, berdasarkan risikan SPRM, bayaran rasuah yang dikenakan adalah sebanyak RM3,000 sehingga RM20,000 bergantung kepada jenis dan usia kenderaan serta keupayaan syarikat-syarikat yang ingin memperoleh Lesen Kenderaan Perdagangan ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap kesemua suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, esok pagi bagi proses permohonan reman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini