comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengapungan diesel: Terlalu awal buat anggaran kenaikan harga barang binaan

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid & Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan industri pembinaan negara berdepan kenaikan kos antara 15 hingga 35 peratus susulan peningkatan  harga diesel baru baru ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata ia masih terlalu awal untuk menganggarkan kenaikan peratusan kos dalam industri berkenaan.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan industri pembinaan akan terkena tempias akibat tindakan pengapungan diesel itu.

Justeru, kementerian kini sedang meneliti kesan pengapungan harga diesel terhadap peratusan kenaikan kos industri binaan secara menyeluruh, termasuk berpandukan indeks kos bahan diterbitkan jabatan perangkaan.

“Ada kemungkinan perindustrian pembinaan akan terkena tempias akibat kenaikan kos, saya pun ada terima rayuan dan daripada pihak berkenaan tapi masih terlalu awal untuk menganggarkan peratusan kenaikan kepada industri pembinaan.

“Buat masa ini kerajaan sedang perhalusi dengan melibatkan beberapa agensi lain temasuk Kementerian Kewangan sebelum membuat sebarang pertimbangan atau dasar baharu.

Menurutnya lagi, pihaknya turut berkejasama dengan jabatan dan agensi dibawahnya, memantau perkembangan industri dan isu-isu kenaikan harga bahan binaan dan bahan mentah.

Perbincangan bersama pihak Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) dan Program Kontraktor Berdaya Saing PKBS  juga turut dilakukan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, mengenai inisiatif kerajaan dalam membantu kenaikan harga jentera dan bahan disebabkan kenaikan harga barang khasnya kontraktor yang sudah diberi tawaran kerja sebelum kenaikan harga diesel yang mengakibatkan peningkatan kos pembinaan daripada 15 hingga 35 peratus.

Alexander dalam pada itu berkata, kerajaan pada 19 Oktober 2021 telah memperkenalkan diesel bersubsidi khas kepada sektor pengangkutan darat dan bot pengangkutan sungai dan disasarkan kepada pengusaha yang menepati syarat yang ditetapkan.

Walaubagaimanapun skim itu tidak diperluaskan kepada industri pembinaan ketika itu.

Oleh itu, pembelian diesel bagi industri pembinaan selama ini adalah pembelian secara komersial dan bukan pembelian secara runcit yang tertakluk kepada pemberian subsidi sebelum harga ini diapungkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini