comscore
Tumpuan :
Nasional

Penganjur himpunan #Reformasi100Peratus akan dipanggil polis

Individu yang sertai perhimpunan #Reformasi100Peratus berjalan dari Plaza Tugu Negara ke persimpangan laluan masuk ke Bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Penganjur perhimpunan #Reformasi100Peratus yang diadakan di luar bangunan Parlimen di sini, hari ini akan dipanggil pihak polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya yang dihubungi hari ini berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung himpunan itu.

“Kita akan panggil penganjur dalam masa terdekat. Pihak polis setakat ini sedang mengenal pasti individu-individu terbabit dalam perhimpunan ini,” katanya.

Terdahulu, dianggarkan kira-kira 60 individu dengan majoriti memakai pakaian berwarna kuning dan hitam mula berkumpul seawal jam 8 pagi dalam perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) itu.

Individu yang menyertai perhimpunan itu mula berjalan dari Plaza Tugu Negara sehingga ke persimpangan laluan masuk ke Bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum.

Pengerusi BERSIH, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata pihaknya menuntut pelaksanaan reformasi 100% terutama melibatkan sistem pilihan raya dan institusi utama. – FOTO: FMT

Seramai lapan individu berucap bagi mendesak tiga tuntutan janji reformasi kepada pihak kerajaan termasuk Pengerusi BERSIH, Muhammad Faisal Abdul Aziz; Timbalannya, Wong Yan Ke, aktivis dan bekas Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah dan Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd Hadi.

Seramai 25 pegawai dan anggota polis dilihat melakukan kawalan keselamatan ketika mereka berarak dan berhimpun dari Tugu Negara dan Parlimen di sini.

Perhimpunan berlangsung secara aman dan terkawal sebelum selesai kira-kira jam 10 pagi.

Loading...
Terkini