comscore
Tumpuan :
Nasional

Penganjur diminta pinda tarikh konsert sebagai hormati Istiadat Pertabalan Agong

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Penganjur konsert melibatkan artis luar negara (ALN) dinasihat untuk tidak mengadakan konsert pada 20 Julai ini sebagai menghormati Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Dalam kenyataan hari ini, Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) memaklumkan, pihaknya menerima sebanyak lima permohonan penganjuran konsert pada tarikh tersebut.

Menurut JK-PUSPAL, tarikh berkenaan bertindih dengan tarikh Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

“Berdasarkan Garis Panduan PUSPAL (GPP), perkara 16.1(f) menyatakan mengenai Tempoh Larangan Mengadakan Persembahan Konsert ALN dan Persembahan Luar Negara Berskala Besar, iaitu ‘Penganjur adalah tidak dibenarkan untuk mengadakan persembahan konsert ALN dan persembahan ALN berskala besar pada hari-hari lain yang diputuskan tidak sesuai oleh kerajaan atau Kerajaan Negeri mengikut mana-mana yang berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, pihak penganjur dinasihat untuk meminda tarikh penganjuran konsert dan mengadakannya pada tarikh baharu yang bersesuaian seperti yang ditetapkan dalam GPP.

Untuk maklumat lanjut, JK-PUSPAL boleh dihubungi melalui talian 03-89115355/5384 atau e-mel [email protected].

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini