KUALA LUMPUR: Penganjur konsert ambang tahun baharu, Pinkfish Countdown 2024 mendakwa kematian empat individu yang menghadiri konsert berkenaan di Bandar Sunway di sini, kelmarin, disahkan berlaku selepas acara itu berlangsung.
Pihak pengurusan Pinkfish dalam kenyataan berkata, bagaimanapun pihaknya akan memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan kes berkenaan.
“Kami bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk memberikan sokongan diperlukan kepada mereka yang terjejas termasuk keluarga mangsa.
“Keselamatan dan kesejahteraan pengunjung, kakitangan serta komuniti sekitar menjadi keutamaan kami,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, pihaknya sentiasa mengambil pelbagai langkah keselamatan bagi setiap acara dianjurkan termasuk Pinkfish Countdown 2024.
Katanya, antara langkah itu termasuk kehadiran lebih 100 anggota polis, menempatkan anggota keselamatan terlatih dan Unit Anjing Pengesan (K9) di semua pintu masuk.
“Kami amat sedih dengan kejadian mengakibatkan empat nyawa terkorban yang dikaitkan dengan konsert berkenaan.
“Kami mendoakan ketabahan ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang dan bersama mereka,” katanya yang turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa.
aTerdahulu, media melaporkan, polis sedang menyiasat kematian empat individu selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu di Bandar Sunway, di sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihaknya menerima empat laporan polis daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkaitan kematian dua lelaki dan dua wanita.
Beliau berkata, bedah siasat selesai dijalankan dan punca kematian masih menunggu siasatan makmal, manakala pemeriksaan ke atas semua individu berkenaan tidak menemui sebarang kecederaan luaran.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau unsur keracunan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.