Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penganiayaan kucing kian meningkat

 

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

PETALING JAYA: Kes penganiayaan dan kezaliman terhadap kucing khususnya yang terbiar di jalanan terus meningkat. Dalam tempoh tiga tahun sejak 2021, sejumlah 891 aduan diterima Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Perbuatan si pelaku ada kalanya melampau sehingga tidak masuk akal.

Timbul persoalan mengapa si pelaku tergamak menyeksa di bulus sedemikian rupa.

Antara perlakuan kejam yang pernah dilaporkan termasuk menyepak sehinggalah memukul kucing dengan objek tertentu selain dijerut dengan tali.

Malah ada yang tergamak memasukkan kucing ke dalam mesin basuh di kedai dobi layan diri.

Itu hanya sebahagian kisah menyayat hati yang menimpa si bulus seperti yang pernah dipaparkan media sebelum ini.

Kucing jalanan antara yang sering menjadi mangsa kerana erkeliaran di merata-rata tempat untuk mencari makanan.

Lebih malang, sekiranya masuk ke premis yang orang tidak berkenan, mereka bukan sahaja dijirus air dan dihalau, malah ada yang ditendang tanpa belas kasihan.

Begitu juga kucing peliharaan di rumah.

Kenaikan harga barang serta tekanan emosi menyebabkan sesetengah pemilik mengabaikan mereka termasuk tidak memberi makanan secukupnya, mengabaikan kebersihan serta tidak memberikan rawatan kepada kucing yang sakit.

Disebalik penguatkuasaan Akta Kebajikan Haiwan 2015, Akta 722 yang turut mengenakan hukuman berat kepada pesalah termasuk hukuman penjara kepada mereka yang didapati menzalimi binatang, masih lagi terdapat sesetengah ataupun segelintir individu yang secara terbuka berani melakukan penganiayaan mahupun kezaliman terhadap binatang.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr Suratan Kamarudin berkata, kebanyakkan kes yang dilaporkan kebanyakkan diterima daripada video yang diviralkan.

Antara yang sudah dihadapkan ke mahkamah, kes membabitkan seorang wanita Indonesia berusia 60 tahun yang dipenjara enam bulan setelah didapati bersalah memukul seekor kucing jantan dengan penyapu.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah premis kedai di Seri Kembangan, Ogos tahun lalu.

Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid berkata, banyak kes penganiayaan diterima daripada pusat perlindungan kucing seliaanya termasuk kes melibatkan warga asing yang berpura-pura mengambil kucing untuk dipelihara.

Lebih menyedihkan apabila ada antara individu yang kononnya mengambil kucing untuk peliharaan, sebaliknya dijadikan hidangan untuk haiwan eksotik seperti ular sawa yang dibela mereka.

Bagi pencinta kucing, kezaliman melampau terhadap haiwan comel ini tidak dapat diterima sama sekali.

Pemilik Khaty’s Cat House, Siti Khatijah Hassan misalnya pernah berdepan pengalaman tragis apabila menyelamat seekor kucing betina kira-kira tiga tahun lalu.

“Saya pernah selamatkan seekor kucing yang dibakar, kucing tu pregnant tapi kucing tu kecil kucing umur dia lebih kurang 5,6 bulan macam tu tapi masa kita rescue tu sayangnya kita takde clip gambar semua kan masa kita recue dia tu dekat kedai makan.

Bila bawa ke Klinik dia selamat lahirkan seekor anak. Kami pun bela hampir tiga tahun dan decide untuk rehome dia.

Malangya dia hilang semasa ditinggalkan seketika di taman oleh tuan baharunya masa bersiar-siar. Jadi saya kecewalah, dah penat-penat selamatkan, jaga, tuan baharu pula abaikan”.

Hakikatnya, kezaliman mahupun pengabaian terhadap haiwan perlu dihentikan segera.

Laporan kedua esok, eksklusif bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang menzahirkan harapan undang-undang sedia ada diperkasakan bagi membendung kekejaman terhadap haiwan.

Loading...
Terkini