KLUANG: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Kluang hari ini atas tuduhan membunuh ibu kandungnya, 4 Disember lalu.
Tertuduh Mohammad Hariez Farhan Masrudin, 20, mengangguk tanda faham selepas kertas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mustaqim Sukarno.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut kertas tuduhan, tertuduh yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik didakwa membunuh ibunya, Zarina Jaafar, 47, antara jam 10.45 pagi hingga 12 tengah hari pada 4 Disember lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara maksima 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 4 Februari 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada 4 Disember lalu, seorang wanita ditemui terbaring tidak sedarkan diri dengan kesan tikaman di badannya.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Besar Enche’ Besar Hajjah Kalsom.
Polis berjaya menahan suspek kira-kira jam 11 pagi di Felda Ayer Hitam, pada hari yang sama.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.