JOHOR BAHRU : Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap Keluarga Diraja Johor menerusi akaun twitter miliknya, dua tahun lalu.
Tertuduh, Reymi Abdul Rahim 43 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim V.M Mabel Sheela.
Dia didakwa secara sedar telah membuat komunikasi jelik terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar
dan Keluarga Diraja Johor dengan niat menyakiti hati orang lain menerusi akaun twitter miliknya.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari bagi kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya manakala tertuduh diwakili peguam Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nurhazneena Zureen Mohamad Hanafiah.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport antarabangsa dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Sebutan semula kes, 21 Ogos depan.