comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengabungan Masscomm UiTM dibatalkan

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pembatalan pengabungan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan Fakulti Sains Komputer & Matematik dan Fakulti Sains Informasi.

Ia diumumkan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar dalam satu mesyuarat bersama wakil pengurusan tertinggi UiTM dan Persatuan Alumni Masscomm UiTM

“Kementerian telah memperhalusi cadangan dan maklum balas yang diterima daripada
pelbagai pihak sejak isu penggabungan ini dibawa ke perhatian saya dan merasakan ianya
tidak harus dilengahkan lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Roziah Janor, Penolong Naib Canselor, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, Prof Dr Haryani Haron, serta Ketua Pengajian Komunikasi dan Media UiTM. Dr Wan Hartini Wan Zainoddin.

Oktober lalu, Persatuan Alumni Masscomm UiTM membantah penggabungan FKPM dengan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) menjadi entiti baharu yang dikenali sebagai Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media.

Sehubungan itu, pihak alumni merancang mengadakan perbincangan dengan UiTM, pemegang taruh lain serta wakil daripada pelbagai organisasi dalam industri.

Alumni Masscomm UiTM berpendapat jenama Masscomm yang sinonim dengan Uitm itu tidak perlu digabungkan dengan fakulti lain, malah perlu diperkasakan lagi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni Masscomm, Basree Rakijan berkata persatuan merakam penghargaan kepada kementerian yang telah memberikan reaksi positif terhadap bantahan yang yang disuarakan persatuan itu baru-baru ini.

“FKPM yang telah 50 tahun ditubuhkan merupakan satu fakulti yang telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan negara dan ia perlu diperkasakan lagi terutama di era komunikasi digital yang begitu mencabar ini”.

“Alumni akan terus berkerjasama dengan FKPM bagi melaksanakan beberapa program yang telah dikenalpasti demi mempastikan jaringan industri-universiti diperkemas dalam usaha melahirkan graduan FKPM yang lebih berwibawa,” katanya.

Loading...
Terkini