RAUB: Pihak yang terbabit dalam penerokaan hutan simpan secara haram di Pahang tidak akan dikenakan tindakan kompaun seperti sebelum ini, sebaliknya akan segera diheret ke mahkamah.
Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia sebahagian tindakan tegas yang akan diambil kerajaan negeri bagi menangani kegiatan penerokaan haram hutan simpan, selain melombong dan memindahkan balak secara haram.
Katanya, ia susulan kejadian tanah runtuh terkini yang berlaku di di Cameron Highlands yang meragut lima nyawa baru-baru ini, yang mana penerokaan haram dikesan berlaku di kawasan runtuhan itu.
“Bagi memberi kesedaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti penerokaan hutan simpan secara haram selain melombong dan memindahkan balak secara haram, tindakan tegas mengheret mereka segera ke mahkamah kini dilakukan dan tidak lagi dikenakan kompaun seperti mana sebelum ini,” katanya.
Beliau diitemui di Majlis Pelancaran Projek Perhutanan Semula Dalam Hutan Simpan Kekal Pahang di Hutan Simpan Tersang, hari ini.
Tambahnya, kejadian tanah runtuh dapat dielakkan sekiranya aktiviti penerokaan secara haram hutan simpan tidak dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
Malah, beliau berkata, pihak terbabit seperti degil dengan larangan dikeluarkan kerajaan negeri yang melarang sebarang kegiatan menceroboh hutan simpan di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands.
Katanya, pelbagai usaha pencegahan kegiatan menceroboh hutan simpan dilakukan pihak berkuasa secara berterusan, namun kegiatan berkenaan masih terus berlaku.
“Kerajaan negeri memandang serius aktiviti pencerobohan hutan simpan di Cameron Highlands oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengusahakan projek pertanian berskala besar.
“Saya berharap Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan agensi penguat kuasa lain dapat terus memperhebatkan usaha mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan di Cameron Highlands bagi memastikan kejadian tanah runtuh tidak terus berlaku hingga mengorbankan nyawa,” katanya.
Sabtu lalu, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman mengesahkan penerokaan haram aktif lebih setahun lalu di kawasan runtuhan tanah di Batu 59, Blue Valley di Cameron Highlands.
Ia membabitkan keluasan 4.31 hektar di kawasan Hutan Simpan Sungai Wi-D bagi tujuan tanaman sayur, dengan tindakan penguatkuasaan termasuk sitaan dan tangkapan dikenakan terhadap pengusaha April tahun lalu di bawah Seksyen 81 Akta Perhutanan Negara 1984.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.