comscore
Tumpuan :
Nasional

Penerima STR diingatkan berhati-hati dengan ancaman ‘scammer’

 

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Susulan agihan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada penerima bermula semalam, dikhuatiri akan pihak yang “menangguk di air keruh”, iaitu mengambil kesempatan di atas kesusahan dan kekalutan orang lain demi kepentingan atau keuntungan diri sendiri.

Pengurus Literasi Kewangan, Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) Ooi Beng Cheang berkata taktik penipuan kononnya mahu menawarkan tukaran bantuan dalam bentuk barangan itu kepada wang tunai ini sering berlegar di sosial media.

Pengurus Literasi Kewangan, Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) Ooi Beng Cheang

“Penerima STR juga harus berhati-hati dengan penipuan, di mana ‘scammer’ akan mengambil kesempatan dengan setiap implementasi sistem bantuan baru. Jangan layan iklan di media sosial yang menawarkan khidmat beli bantuan STR mereka,” katanya.

Biarpun begitu beliau berpandangan bantuan dalam bentuk barangan asas dan bukannya wang tunai dapat memastikan ia dibelanja untuk keperluan dan bukan kehendak.

Tambahnya, sistem agihan RM100 setiap bulan hingga Disember juga membolehkan penerima menggunakan peruntukan itu secara berhemah.

“Jika kita lihat sistem lama, penerima akan menerima duit tunai dan ada yang membawa satu keluarga belanja habis duit di restoran makanan segera. Sistem ini sedikit sebanyak akan memastikan duit itu dibelanja dengan makanan asas yang menjadi pilihan sihat,” jelasnya.

Turut dipersoalkan implementasinya terutama untuk penerima OKU.

Bolehkah wakil membeli untuk mereka yang ada kesukaran untuk bergerak.

“Kesukaran di sini ialah implementasi untuk mereka yang ada kesukaran mobiliti dan pengangkutan contohnya penerima OKU yang berkerusi roda. Adakah orang lain dibenarkan membeli barangan asas ini dengan menggunakan MyKad dan nombor pin mereka? Saya harap kerajaan akan melihat aspek ini juga” tegasnya.

10 kategori barangan disenaraikan di bawah SARA iaitu beras, minyak masak, telur, tepung, roti, makanan dalam tin, biskut, minuman, mee segera dan bahan perasa.

Label MyKasih diletakkan pada rak barangan yang diluluskan di pasar raya atau kedai runcit terpilih seluruh negara.

Hampir RM130 juta diperuntukan untuk SARA kepada lebih 210,000 penerima STR dalam kategori miskin tegar.

Beng Cheang turut mencadangkan inisiatif di bawah Payung Rahmah itu ditambah baik, dengan meningkatkan jumlahnya daripada RM100 ke minimum RM200 sebulan.

Ia memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat dengan kenaikan harga barang yang tidak menentu.

“Berdasarkan panduan Belanjawanku KWSP, seorang bujang yang hidup di Lembah Klang memerlukan minimum RM610 sebulan untuk perbelanjaan makanan manakala keluarga dengan seorang anak memerlukan RM1420. Maksudnya, RM100 sebulan ini tidak cukup untuk belanja makanan, tetapi ia akan membantu meringankan bajet bulanan penerima STR.

Duit RM100 yang dijimatkan boleh digunakan untuk kategori lain seperti pengangkutan, bayar sewa rumah atau membina tabung kecemasan mereka,” ujarnya.

Penerima di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Kelantan, Kuala Lumpur dan Putrajaya menerima bantuan itu sejak semalam.

Untuk penerima di Perlis, Perak, Pahang, Melaka dan Johor pula agihan akan bermula 31 Julai.

Manakala bagi penerima di Sabah dan Sarawak, bayaran RM600 secara sekali gus melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai dibuat mulai 7 Ogos depan.

Loading...
Terkini