comscore
Tumpuan :
Nasional

Penerbangan sulung Singapura-Melaka bermula hari ini

Penerbangan sulung Scoot dari Singapura ke Melaka bermula hari ini. – FOTO: NSTP

MELAKA: Penerbangan sulung syarikat tambang rendah Singapore Airlines, Scoot Private Limited (Scoot) ke Melaka bermula hari ini sekali gus akan meningkatkan akses antarabangsa ke negeri bersejarah itu.

EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman, berkata ini kerana selain memudahkan pelancong dari Singapura untuk ke negara ini, ia turut memberi pilihan kepada penumpang antarabangsa lain ke Melaka dengan menjadikan republik terbabit sebagai transit.

Beliau berkata, dengan kekerapan penerbangan Scoot ke Melaka sebanyak lima kali seminggu, kerajaan negeri yakin penerbangan itu dapat memenuhi permintaan yang tinggi serta memudahkan perancangan perjalanan pelancong.

“Penerbangan ini akan beroperasi pada hari Isnin, Rabu, Jumaat, Sabtu, dan Ahad di samping penyediaan penerbangan malam pada hari tertentu untuk memberi lebih banyak pilihan kepada penumpang, terutama kepada mereka yang memerlukan waktu perjalanan yang lebih fleksibel.

“Dengan harga tambang kelas ekonomi bermula dari SGD69 (RM227), termasuk semua caj dan cukai, Scoot menawarkan perjalanan yang bukan sahaja mesra bajet, tetapi juga memberi peluang kepada lebih ramai pelancong untuk menikmati keindahan dan keunikan Melaka.

“Harga yang kompetitif ini diharapkan dapat menarik lebih ramai pelancong dari Singapura dan negara jiran lain ke Melaka,” katanya selepas menyambut ketibaan pertama Scoot di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Seramai 112 penumpang pertama ke Melaka itu tiba dari Singapura kira-kira jam 2.55 petang tadi menerusi penerbangan TR408 dan 107 penumpang juga berlepas dari Melaka ke Singapura menerusi penerbangan TR409.

Abd Razak berkata, dengan jumlah penumpang yang ramai itu, beliau yakin angka ini akan terus meningkat dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penerbangan Scoot ke Melaka itu mempunyai kepentingan strategik, terutama dalam memperluaskan akses Melaka sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Katanya, penerbangan itu juga memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pelancongan antarabangsa Melaka, termasuk persediaan untuk acara World Tourism Day (WTD) 2025 dan World Tourism Conference (WTC) 2025.

“Kehadiran Scoot adalah satu daripada usaha kita untuk meningkatkan profil Melaka sebagai destinasi pelancongan utama di peringkat global dan ia dijangka akan merancakkan ekonomi tempatan dengan membawa lebih ramai pelancong antarabangsa ke negeri ini.

“Pelancongan yang lebih kukuh akan memberi impak positif kepada sektor seperti perhotelan, restoran, perkhidmatan pelancongan serta perniagaan kecil dan sederhana di Melaka dan ini juga akan membuka peluang pekerjaan baharu serta meningkatkan aktiviti ekonomi negeri,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini