Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penerbangan KL-Tawau RM3,138 sehala tak masuk akal – Wee

PETALING JAYA: “Macam mana keluarga B40 dan M40 khususnya warga Tawau di perantauan nak beraya tahun ni?,”

Itu soalan dilontar bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang cukup kecewa dengan harga tiket penerbangan Kuala Lumpur- Tawau sempena Hari Raya Aidilfitri kerana terlalu mahal.

Hasil semakan beliau mendapati tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau untuk kelas ekonomi menjelang musim Hari Raya Aidilfitri ini (20 April 2023) menjangkau RM3,138.

Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

“Ini sesuatu yang amat mengejutkan dan mengecewakan orang ramai khususnya pengguna pengangkutan awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Katanya, tahun lalu ketika pintu sempadan baru saja dibuka pada 1 April 2022, tambang ketika itu melebihi RM1000 kerana tidak banyak pesawat boleh beroperasi.

“Mereka perlu melalui proses MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) untuk tiga bulan sebelum dibenarkan beroperasi demi keselamatan orang ramai. Sekarang, bukan lagi isu sekatan pergerakan akibat COVID-19 atau MRO, tapi harga tambang dari Kuala Lumpur ke Tawau bernilai RM3,138 seorang”, katanya.

Beliau berkata, sektor penerbangan beransur pulih, kebanyakan pesawat tidak lagi didaratkan “grounded” seperti waktu pandemik.

“Syarikat penerbangan tiada alasan untuk tidak menambah frekuensi selagi ada kemampuan dan tiada lagi sekatan “passengers load” sebanyak 50 peratus sewaktu COVID-19 yang memberi justifikasi harga tambang penerbangan melonjak tinggi.

Tambahan pula, frekuensi penerbangan tidak lagi dikawal oleh State Disaster’s Management Committee oleh Sabah atau Sarawak.

“Sehubungan dengan itu, saya merayu kepada syarikat penerbangan, berpada-padalah, tambang terlalu tinggi membebankan rakyat jelata.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan tidak boleh menetapkan harga siling kepada tiket penerbangan kerana ia mungkin menjejaskan sektor pengangkutan udara itu.

Sebaliknya, syarikat penerbangan digalakkan menambah kapasiti penerbangan dalam usaha mengawal  harga tiket  tidak terlalu mahal.

Loading...
Terkini