Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penentuan arah kiblat jam 5.18 petang ini

 

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia boleh menentukan arah kiblat secara tepat menerusi kaedah Istiwa’ A’dzam atau kaedah bayang matahari ketika matahari atas kaabah iaitu tepat jam 5.18 petang ini.

Dengan menggunakan kaedah ini, umat Islam berpeluang menentukan sendiri arah kiblat menggunakan bayang matahari sahaja, dibantu dengan peralatan yang mudah iaitu objek tegak seperti sebatang kayu.

Istiwa’ A’dzam adalah fenomena yang berlaku apabila Matahari berada di atas titik Zenit sesuatu tempat ketika ia melintasi di Median tempat berkenaan.

Foto : NSTP

Ketika Matahari Istiwa di atas Kaabah, bayang-bayang objek di mana-mana tempat di bumi yang menerima cahaya Matahari boleh menjadi panduan arah kiblat.

Fenomena ini berlaku dua kali dalam setahun iaitu pada 28 Mei (5.18 petang) dan 16 Julai, jam 5.28 petang.

Sementara itu, menurut Jabatan Mufti Selangor, pengukuran kiblat tepat oleh orang ramai boleh dilakukan menggunakan apa sahaja objek yang tegak di kediaman masing-masing seperti tingkap dan pintu tepat jam 5.18 jam.

Dalam tutorial yang dikeluarkan di Facebook Jabatan Mufti Selangor, berkata bayang yang jatuh itu adalah menunjukkan arah kiblat

“Jadi apa yang boleh dilakukan kita adalah ambil marker pen atau pembaris, dari arah bayang ke arah objek (yang tegak seperti pagar atau pintu). Itulah arah kiblat kita, Masanya adalah 5.18 petang.

“Sekiranya terlepas (masa 5.18 petang), anda boleh menanda arah kiblat sendiri sekurang-kurangnya dalam tempoh 20 minit daripada masa tadi kerana arahnya masih lagi sama, Insya-Allah,” katanya.

Loading...
Terkini