SELAYANG: Identiti mayat seorang lelaki yang ditemui di dalam longkang berhampiran sebuah pasar raya di Selayang Baru, Batu Caves, di sini, hari ini menjadi tanda-tanya.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 3.15 petang tadi.
“Seramai lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami dimaklumkan mengenai penemuan mayat seorang lelaki di dalam longkang berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, anggota bertugas mengambil masa beberapa minit untuk membawa naik mangsa menggunakan pengusung.
“Setakat ini, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.