comscore
Tumpuan :
Nasional

Penemuan kes menjijikkan – Shuhaily

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd. Zain.

KUALA LUMPUR: “Saya jijik dengan penemuan (siasatan).”

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd. Zain menyifatkan penemuan siasatan kes Op Global yang membabitkan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) sebagai sesuatu yang jijik.

Bercakap kepada BH, Mohd. Shuhaily memberitahu, beliau tidak boleh mengulas dengan lanjut ekoran kes masih dalam siasatan.

BACA TERKINI KLIK: 19 individu termasuk pemimpin utama GISBH ditahan

“Seperti biasa, saya tak boleh bercakap banyak (mengenai kes ini) dan saya pun tak akan komen banyak (sebab kes dalam siasatan).

“Apa yang saya boleh cakap hanyalah… kes ini, saya jijik dengan penemuan (siasatan). Itu saja, terima kasih,” ringkasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media khas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkaitan perkembangan siasatan Op Global di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, semalam.

Terdahulu, polis menyerbu rumah perlindungan menerusi OP Global sebelum menyelamatkan ratusan kanak-kanak sebelum mendedahkan 13 daripadanya dipercayai menjadi mangsa liwat.

Sehingga kini, seramai 149 mangsa kanak-kanak berusia satu tahun hingga 10 tahun diberi perintah jagaan sementara dan telah dipindahkan ke empat pusat perlindungan, manakala baki mangsa kanak-kanak seramai 242 orang akan dipindahkan ke pusat jagaan sementara secara berperingkat.

Semalam, dalam sidang media, Razarudin memaklumkan polis membekukan 96 akaun bank membabitkan GISBH yang dianggarkan bernilai lebih RM581,000.

Setakat ini, katanya sejumlah 96 akaun membabitkan GISBH berjumlah RM581,552.31 dibekukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Sebanyak empat akaun ditutup dan lapan kenderaan telah dikeluarkan perintah pembekuan (sita),” katanya.

Pagi ini, dipercayai tiga kes berkaitan GISBH dijangka dituduh di mahkamah berasingan masing-masing di Putrajaya dan Negeri Sembilan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini