comscore
Tumpuan :
Nasional

Penemuan dua mayat perempuan: Dua beranak dibunuh leher dikelar, suami ditahan

Oleh: Selwam Arjunan

ALOR SETAR: Misteri penemuan dua mayat perempuan di dalam longkang bangunan kosong di Pekan Simpang Kuala, di sini, petang semalam akhirnya terjawab apabila polis mengesahkan ia milik ibu dan anak perempuannya, yang dipercayai dibunuh.

Mangsa wanita, 34, dan anak perempuannya, 10, kedua-duanya dipercayai warga asing ditemukan dengan kesan kelar pada leher.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati berkata, suspek utama kes yang merupakan suami dan bapa mangsa ditahan di Masjid Bukit Pinang, jam 9 malam tadi untuk membantu siasatan.

Terdahulu katanya, orang awam yang menemukan dua mayat perempuan di belakang sebuah bangunan kosong menghubungi polis pada jam 5.04 petang.

“Siasatan polis di lokasi mendapati kedua-dua mayat yang lengkap berpakaian tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, ditemui mati dalam keadaan tertiarap dan terlentang berdekatan antara satu sama lain di dalam longkang kecil, dengan kesan kelar pada leher kedua-dua mayat.

“Mayat kedua-dua perempuan yang dipercayai warganegara asing ini kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar bagi tujuan bedah siasat.

“Berdasarkan risikan pantas yang dilakukan, pihak polis telah berjaya lakukan tangkapan ke atas seorang lelaki warganegara asing berusia 43 tahun,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau turut mengesahkan suspek merupakan suami wanita dan bapa kepada kanak-kanak perempuan dibunuh.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Alor Star, pagi ini bagi tujuan permohonan reman.

Ujarnya, polis masih melakukan siasatan untuk mengenalpasti motif pembunuhan.

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.

“Polis juga meminta kerjasama daripada individu atau pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk tampil memberi keterangan di mana mana balai polis berhampiran, atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar, ASP Faizul Izuan bin Harun di talian 047747222,” tambahnya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini