comscore
Tumpuan :
Nasional

Penemuan bayi dalam plastik, remaja 14 tahun ditahan 

FOTO: Ihsan Pembaca

KUCHING: Polis menahan seorang pelajar tingkatan dua malam tadi, susulan penemuan bayi yang baru dilahirkan di semak kawasan perumahan di Bandar Baru Samariang di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, remaja perempuan berusia 14 tahun itu ditahan di kawasan Matang, pada jam 8 malam tadi.

“Dia ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Terdahulu, Ahsmon berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan bayi perempuan itu daripada orang awam kira-kira 9 pagi semalam.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya menggerakkan anggota ke lokasi dan mendapati bayi berkenaan masih hidup serta dalam keadaan sihat.

“Bayi berkenaan dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan lanjut dan dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara, video penemuan bayi berkenaan turut tular di media sosial, yang menunjukkan bayi itu masih hidup dan bertali pusat.

Difahamkan, bayi berkenaan ditemukan di dalam beg plastik selepas penduduk mendengar tangisannya.

Seorang wanita kelihatan memegang dan membawa bayi itu ke sebuah kedai makan berhampiran, dengan orang ramai yang prihatin membantu membersihkannya.

Loading...
Terkini