comscore
Tumpuan :
Nasional

Penempatan pegawai perubatan siswazah siri lantikan ketiga diperluas

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan membuka penempatan pegawai perubatan siswazah (PPS) baharu bagi lantikan siri ketiga ke beberapa lagi hospital selain hospital negeri.

Dalam kenyataan hari ini, KKM memaklumkan keputusan itu dibuat memandangkan peratus pengisian slot PPS telah bertambah baik.

“Tawaran penempatan ini dilaksanakan menerusi sistem e-houseman pada 13 Mei 2024 yang melibatkan 792 orang calon,” menurut kenyataan itu.

Awal tahun ini, KKM memutuskan agar penempatan dibuka kepada hospital negeri sahaja disebabkan pelantikan PPS didapati semakin menurun dan pengisian slot pegawai perubatan berkenaan di hospital negeri berkurangan.

Sehingga April lalu, KKM telah melaksanakan dua siri lantikan baharu PPS melibatkan seramai 701 orang pada siri lantikan pertama dan 803 orang pada siri lantikan kedua.

“Bagi siri lantikan seterusnya, penempatan PPS di hospital lain akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa berdasarkan bilangan calon yang diterima dari Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta faktor lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, KKM berkata pihaknya amat memahami cabaran yang dihadapi petugas kesihatan di seluruh negara dalam menghadapi peningkatan bebanan kerja.

Beberapa langkah jangka pendek dan jangka panjang akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah terbabit.

Susulan itu, sejumlah 747 pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan siswazah ditempatkan ke semua negeri pada bulan ini bagi menampung kekurangan pegawai perubatan sedia ada.

“Tujuan latihan yang diberikan kepada PPS sewaktu penempatan adalah supaya mereka mendapat pendedahan dan latihan klinikal yang mencukupi. Ini penting agar mereka mampu memberi perkhidmatan yang berkualiti serta dapat mengamal dengan selamat,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, KKM turut mengarah semua pengarah hospital untuk memastikan kebajikan semua petugas kesihatan terpelihara walaupun tahap pengisian PPS di hospital masih dalam proses penambahbaikan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini