Tumpuan :
Nasional

‘Penempatan haram PATI Nilai Spring dibuka setahun lalu’

SEREMBAN: Selain kemudahan sekolah, penempatan haram warga asing yang diserbu pihak berkuasa di Nilai Spring dekat Nilai awal pagi semalam, mempunyai beberapa kemudahan lain termasuk kedai runcit.

Perkampungan haram yang terletak kira-kira 1.2 kilometer dari laluan utama itu diserbu pihak berkuasa negeri diketuai Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS), pada kira-kira 1.30 pagi semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang, berkata selain sekolah yang mempunyai silibus tersendiri, beberapa kemudahan lain termasuk kedai runcit berkemungkinan turut terdapat di situ.

Katanya, ia sebagai tempat bekalan bahan makanan untuk mereka.

“Kedai runcit mungkin ada dan kemungkinan terdapat individu atau pihak tertentu yang menjadi dalang membekalkan bahan makanan kepada mereka.”Klinik kami tidak temui di situ, namun terdapat seorang bayi berusia dua bulan yang turut ditahan.

Kami turut musykil bagaimana bayi ini mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan atau rawatan yang baik,’ katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkampungan haram itu yang berkeluasan kira-kira 06 hektar atau sebesar tiga padang bola dikelilingi hutan tebal dengan jalan masuk tanah merah.

Menurutnya, mereka didapati didapati menggunakan generator sebagai alat mendapatkan bekalan elektrik.

Katanya, terdapat sekitar 30 unit rumah kayu berlantai simen seperti rumah di perkampungan Orang Asli dan seunit wakaf berbumbung dipercayai digunakan sebagai tempat bermesyuarat atau aktiviti lain dalam kalangan mereka.

“Setiap unit rumah itu terletak berhampiran antara satu sama lain, namun jangka masa kewujudan penempatan ini belum dapat dikenal pasti dan kemungkinan lebih setahun. Ia masih dalam siasatan kami.

“Jika melihat dari segi keluasan penempatan berkenaan, ia boleh diduduki sekitar antara 80 hingga 100 orang penduduk,” katanya yang memaklumkan terdapat beberapa buah motosikal dipercayai digunakan sebagai kenderaan urusan harian.

Ai Kiang berkata, pintu masuk penempatan itu dipasang beberapa tayar kereta yang berpaku selain terdapat beberapa ekor anjing liar yang dibela berkeliaran di kawasan terbabit dipercayai digunakan sebagai pengawal di penempatan berkenaan.

Beliau juga berkata, penduduk penempatan terbabit dikenal pasti warga Indonesia yang dilihat sangat agresif.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa sebulan membuat risikan selain menggunakan dron bagi mendapatkan maklumat lengkap terhadap penempatan terbabit.

“Siasatan lanjut masih dijalankan terhadap kedudukan penempatan berkenaan terutama dari aspek tapak sama ada ia milik persendirian atau kerajaan negeri,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, JIMNS menyerbu penempatan berkenaan dalam satu operasi susulan menerima aduan orang awam dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Dalam operasi itu, pihak berkuasa menahan seramai 67 orang pendatang tanpa izin (PATI) yang berusia antara dua bulan hingga 72 tahun terdiri daripada 11 orang lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan.

Kesemua mereka dipercayai tinggal di penempatan terbabit bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.Dalam operasi berkenaan juga, pihak berkuasa turut menemui beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang di kediaman mereka.

Ai Kiang berkata, kesemua tahanan terbabit kini ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut atas kesalahan yang dikenal pasti tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harin, ketika melahirkan rasa terkejut terhadap penemuan penempatan haram itu, menyifatkan ia sebagai perkara serius yang tidak sepatutnya berlaku di Negeri Sembilan.

Katanya, bagaimana penempatan berkenaan dipercayai telah wujud lama tetapi baharu dapat dikesan dan pihak berkuasa sepatutnya telah kenal pasti lebih awal.

“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini, pihak keselamatan sepatutnya bertindak, mencari maklumat, tapi perkara ini terbongkar selepas ia wujud sejak sekian lama dengan anak kecil, beberapa ibu dan ada kemudahan sekolah, ini perkara yang serius.

“Semua pihak berkuasa, polis, imigresen, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah sepatutnya dapat menyemak dan apa juga aduan perlu diambil tindakan segera.”Kita tidak mahu terdapat perkampungan (warga asing) yang sudah lama dan ketika itu susah untuk kita bertindak atau pindahkan mereka. Ini tidak harus berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, beliau tidak akan berkompromi terhadap perkara berkenaan kerana penemuan penempatan haram seperti ini boleh menjejaskan keselamatan negeri dan rakyat.

“Saya akan panggil semua pihak yang berkaitan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri pada waktu terdekat.”Kita akan minta pihak berkenaan melihat perkara ini agar kejadian seperti ini tidak berulang pada masa depan. Soal keselamatan negeri dan rakyat kita tidak boleh berkompromi,” katanya.

Katanya, pihaknya juga akan mendapatkan maklumat mengenai status tanah penempatan terbabit daripada pihak berkuasa berkaitan..”Setakat ini tidak pasti status tanah penempatan itu. Saya kena semak dengan pihak berkaitan ,” katanya.

Loading...
Terkini