SEREMBAN: Selain dikelilingi hutan tebal, kawasan penempatan haram pendatang tanpa izin (PATI) dekat Taman Bandar Senawang, di sini, turut dipagari zink dengan papan tanda dilarang masuk.
Keadaan itu menjadikannya sebagai tempat tinggal strategik bagi PATI tanpa perlu menyewa rumah selain dipercayai tidak membayar apa-apa bil utiliti.
Difahamkan juga, penempatan seluas 2,700 meter persegi itu dipercayai sudah wujud kira-kira 15 tahun lalu kerana berdasarkan rekod pernah diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 2009.
Namun, penempatan yang pada asalnya tempat tinggal pekerja kontrak binaan projek perumahan berdekatan semakin pesat dan kini dipercayai didiami lebih 150 warga asing.
Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang, berkata hasil maklumat dan risikan pihaknya, satu serbuan dijalankan awal pagi tadi dan menahan 11 PATI.
“Mereka terdiri daripada tujuh lelaki Indonesia dan empat lelaki Bangladesh yang disyaki tinggal lebih masa dan tiada sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Operasi membabitkan seramai 180 anggota pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK),” katanya selepas operasi.
Tinjauan wartawan di lokasi turut mendapati penempatan berkenaan dibina seperti bilik asrama daripada papan lapis dilengkapi dapur dan bilik air, namun dalam keadaan daif dan kotor.
Terdapat juga kedai makan dan struktur seperti dewan makan yang dilengkapi televisyen bersaiz besar selain dikesan kegiatan bercucuk tanam serta menternak ayam untuk kegunaan sendiri.
Kennith berkata, pihaknya masih menyemak status tanah berkenaan kerana penghuni mendakwa mereka mendiami penempatan yang disediakan majikan tanpa sebarang bayaran.
“Penempatan ini pernah diserbu sebelum ini dan kami mendapati ia semakin luas. Fokus kami adalah untuk mencegah kediaman seperti ini terus berleluasa.
“Kami akan semak status tanah ini dan tindakan selanjutnya akan diambil termasuk merobohkan struktur premis. Kami juga mengesyaki mereka mencuri elektrik dan bekalan air,” katanya.
Jelas beliau lagi, hasil risikan mendapati penempatan berkenaan juga dijadikan transit bagi warga asing yang belum mendapat pekerjaan dengan caj sebanyak RM50 satu malam.
“Kami sudah mengenalpasti ketua yang mengendalikan penempatan ini dan akan diambil keterangan. Kami juga percaya kawasan ini dijaga seseorang di kawasan pintu masuk sebagai langkah keselamatan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.